Monday, 5 January 2015

10 MUWASAFAT TARBIYAH

Apakah itu Muwasafat Tarbiyah?

Muwasafat Tarbiyah adalah kriteria yang perlu ditanamkan dalam diri untuk menjana keperibadian Muslim yang syumul.

1) Aqidah Sejahtera (Salim-ul Aqidah)
Tidak menjampi kecuali dengan al-Quran yang ma’thur
Tidak berhubung dengan Jin
Tidak meminta bantuan dari orang yang meminta bantuan jin
Tidak menenung nasib
Tidak mendekati tukang tilik
Tidak mengusap kubur
Tidak meminta bantuan dari simati
Tidak bersumpah dengan selain Allah
Tidak mempercayai adanya sial
Mengikhlaskan amal kerana Allah
Mengimani rukun-rukun Iman
Mensyukuri Allah swt ketika menerima nikmat
Sentiasa sedar Syaitan adalah musuh
Menerima sepenuhnya dari Allah dan menolak sesuatu yang diturunkan selain Allah swt

2) Ibadah Yang Sahih (Shahih-ul 'Ibadah)
Tidak menolak untuk melaungkan azan
Bersuci dengan sempurna
Sangat menghargai solat berjemaah
Sangat suka berjemaah di masjid
Memperbaiki mutu solat
Qiamullail seminggu sekali
Menunaikan zakat
Berpuasa wajib
Berpuasa sunat sehari setiap bulan
Ada niat untuk menunaikan haji
Beriltizam dengan adab-adab tilawah
Khusyuk ketka membaca al-Quran
Menghafaz 1 juzuk dari al-Quran
Berdoa pada waktu-waktu yang diutamakan
Mengakhiri harinya dengan taubat dan istighfar
Menjadikan setiap amalan mempunyai niat
Menjauhi dosa-dosa besar
Sentiasa membaca zikir pagi
Sentiasa membaca zikir petang
Mengingati Allah swt pada setiap situasi
Menunaikan Nazar
Menyebarkan Salam
Menahan anggota dari perkara haram
Beri’tikaf di bulan Ramadhan jika ada peluang
Menggunakan sugi/siwak
Sentiasa bersuci (berwudhuk) sedaya mungkin

3) Akhlak Yang Mantap (Matin-ul Khuluq)
Tidak takabbur
Mempunyai pendirian
Tidak menipu
Tidak mencaci
Tidak mengadu domba
Tidak mengumpat
Tidak berdusta
Tidak mengejek
Tidak memperlekehkan sesuatu kumpulan
Tidak berkawan dengan orang yang berkelakuan buruk
Mengasihi orang yang lebih muda
Menghormati orang yang lebih tua
Menunaikan janji
Menundukkan pandangan
Menjaga rahsia
Menutup dosa orang lain
Cemburu terhadap isteri
Mempunyai perasaan cemburu atas agamanya

4) Mampu Berdikari (Qadirun 'Ala-l Kasbi)
Menjauhi pekerjaaan yang haram
Menjauhi riba
Menjauhi judi
Menjauhi penipuan
Menunaikan zakat
Membuat simpanan walaupun sedikit
Tidak menangguh-nangguhkan tugasan yang diamanahkan
Memelihara harta awam
Memelihara harta peribadi

5) Berpengetahuan luas (Mutsaqqaf-ul Fikri)
Mampu membaca dan menulis dengan baik
Membaca tafsir 1 juzuk dari al-Quran
Memelihara hukum-hukum tilawah
Menghafaz setengah dari hadith 40
Menghafaz 20 hadith dari Riyadhusshalihin
Mengkaji marhalah Makkah dan menguasai ciri-cirinya yang penting
Mengenali sepuluh orang yang dijanjikan Syurga
Mengetahui hukum-hukum taharah/bersuci
Mengetahui hukum-hukum solat
Mengetahui hukum-hukum puasa
Membaca sesuatu di luar bidangnya. 4 jam seminggu
Memahirkan diri dengan wasilah-wasilah moden
Sentiasa peka akan serangan Zionis terhadap Islam
Mengetahui pertubuhan-pertubuhan yg menyeleweng
Mengetahui aspek keburukan dari perancang keluarga
Mendengar dengan baik
Mampu memberikan pandangan
Bersedia menerima tugas-tugas kolektif
Tidak menerima syubahat yang dilemparkan keatas kita

6) Tubuh Yang Cergas (Qawwiy-ul Jism)
Bersih tubuh badan
Bersih pakaian
Tempat tinggal yang bersih
Beriltizam dgn sunnah (adab) makan dan minum
Tidak berjaga malam berlebihan
Iltizam dgn senaman 2 jam seminggu
Bangun sebelum terbit fajar/subuh
Mematuhi kaedah membaca dari aspek kesihatan
Meninggalkan tabiat merokok
Menjauhi tempat-tempat kotor
Menjauhi tempat-tempat berpenyakit

7) Menguasai Diri (Mujahadat-ul Li Nafsi)
Menjauhi perkara-perkara haram
Menjauhi tempat-tempat lalai yang diharamkan
Meninggalkan tempat-tempat maksiat

8)Teratur urusannya (Munazhzhamun Fi Syu'unihi)
Penampilan yang elok
Tidak mempunyai hubungan dengan pihak yang menentang Islam

9)Sangat Menghargai Masa (Harishun 'Ala Waqtihi)
Bangun awal
Menggunakan masa tertentu untuk belajar

10)Bermanfaat Kepada Orang Lain (Nafi'un Li Ghairihi)
Menunaikan hak ibu bapa
Menyertai majlis-majlis kegembiraan
Membantu orang-orang yang memerlukan
Membimbing orang yang sesat
Berkahwin dengan pasangan yang sesuai






TIPS AJAK ANAK SOLAT


Solat adalah satu tanggungjawab yang amat besar bagi seorang Muslim. Tanggungjawab sebanyak 5 waktu dalam sehari inilah yang bakal Allah tanya terlebih dahulu daripada amal ibadah yang lain. Jika baik solat kita, maka baiklah amalan yang lainnya. Namun jika solat kita rapuh, maka usah mengharapkan amal dan penghidupan kita selebihnya akan baik.

"Batas antara seseorang dengan kekufuran adalah meninggalkan solat" (Riwayat Muslim)

"Perjanjian antara kita dengan mereka adalah solat , maka sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia kafir." (Laporan al-Nasa'i, al-Tarmizi dan Ahmad)

Dalam konteks pendidikan awal anak-anak, tanggungjawab untuk mendidik anak untuk bersolat adalah satu amanah yang sangat besar dan berat. Mendidik dan mentarbiyyah anak-anak untuk solat tidak semudah kita mengajar anak ABC atau 123. Tanggungjawab yang besar ini datang dengan pelbagai ujian dan ini memerlukan ibubapa yang bijak.

Berikut adalah tip untuk mengajar anak solat:

1. Contoh tauladan yang baik.

    Ibubapa adalah contoh terbaik dan terdekat untuk diteladani oleh anak-anak. Ayah yang selalu ke masjid, ibu yang terus bersiap solat ketika mendengar azan dan mendedahkan kepada anak-anak tentang solat berjemaah adalah antara contoh terbaik buat anak-anak. Inilah adalah salah satu cara didikan berkesan yang dinyatakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab agungnya, Tarbiyatul Aulad tentang peri pentingnya kita menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

2. 0 - 2 tahun - Wujudkan suasana yang solehah (Biah solehah)

    Walaupun anak masih kecil, tidak mengerti dan tidak faham, namun suasana yang baik dan solehah akan menjadikannya biasa. Dia biasa melihat ibu dan ayahnya solat di awal waktu, solat berjemaah, tahu tentang azan dan mendengar bacaan ayat-ayat al-qur'an. Berkata-katalah dan bercerita dengan anak seperti, " Tunggu sebelah Ummi ya, Ummi mahu solat." " Terima kasih sayang sebab tunggu Ummi solat."

3. 2 - 3 tahun - Ajak anak

    Usah jemu untuk selalu ajak anak solat. Biar mereka biasa dengan ajakkan. Walaupun mereka hanya mendengar dan tidak mengikuti, teruskan menyebut setiap kali kita hendak solat. " Jom ikut Ummi solat!"

4. 4 - 6 tahun - Mengapa kita solat?

    Sudah tiba masanya untuk ibubapa bercerita tentang kepentingan solat. Penerangan berbentuk cerita dapat memberikan gambaran yang jelas kepada anak-anak. 

Contohnya:

Ummi: Allah suka kalau kita solat.
Anak: Kenapa? (Dalam umur begini anak suka bertanya kenapa, bagaimana dan mengapa)
Ummi: Kalau kita solat, nanti Allah sayang. Ummi sayang. Abi sayang.

     Pada tahap ini juga, dedahkan anak-anak secara kerap tentang masjid. Ajak mereka ke masjid. Perkenalkan tentang adab-adabnya, solat jemaah, hubungan sosial dengan jemaah yang lain dan sebagainya. Pada umur begini juga ibubapa sudah boleh menghantar mereka ke tadika Islam yang mengajar mereka tentang solat agar mereka lebih faham dan seronok untuk solat.

5. 7 - 9 tahun - Penekanan dan tanggungjawab

    3 tahun yang kritikal. Ini adalah tahun-tahun pengukuhan bagi asas solat. Kita sudah menunjukkan contoh, ajakan dan pemahaman sejak lahir. Waktu ini anak seharusnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan ketika azan, cara mengambil wudhuk, pergerakan dan bacaan dalam solat. Walaupun tidak lancar dan tidak cekap, sekurang-kurangnya mereka sudah ada asas. Mencapai umur 9 tahun, ibubapa sudah mula sedikit tegas dan selalu mengingatkan.

6. 10 tahun ke atas - Denda dan hukuman

    Dalam hadith tentang solat, Nabi membenarkan untuk kita memukul anak yang ingkar solat ketika dia berumur 10 tahun. Tetapi sebelum kita memukulnya, adakah kita telah memberikan pemahaman serta contoh terbaik buat mereka? Hanya kita sebagai ibubapa yang mengetahuinya. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad menyebut bahawa memukul adalah jalan terakhir setelah ibubapa sudah putus harap. Tidak semudah itu untuk ibubapa menjatuhkan hukuman dan memukul anak. Semoga kita menjadi pemimpin yang adil dalam menentukan hukuman dan denda terhadap anak-anak.

7. Doa

    Selalulah amalkan doa Nabi Ibrahim ini:




Proses pentarbiyyah tidak terhenti setakat itu sahaja. Ianya adalah proses yang amat panjang. Usah jemu dalam proses pentarbiyyahan ini. Pelbagai teknik dan cara perlu diterapkan oleh ibubapa dalam mengajak anak bersolat. Kekerasan dan paksaan hanya akan membantutkan proses asas pemahaman solat ini. 

Semoga kita semua dapat melalui proses ini dengan baik dan saling berganding bahu bagi membina generasi yang mendirikan solat. Ameen.

Moga kita disayang Allah :)

SYUKUR ATAS NIKMAT DAN ANUGERAH


Pengertian Syukur:
Syukur pada asalnya ialah “Mengakui kebaikan orang, sentiasa mengingati dan membicarakan kebaikan -kebaikan itu”. Syukur akan Allah ialah “Mempergunakan segala bahagian anggota badan pada wadhifahnya...., (kesanggupan dan tempatnya) masing-masing yang telah ditentukan baginya oleh Allah”.Orang-orang yang mensyukuri Allah, tiada sesekali mahu mempergunakan matanya untuk melihat sesuatu yang haram. Ia sentiasa mempergunakan matanya untuk memandang segala yang diharuskan dan diwajibkan serta sentiasa mengajak anggota-anggotanya yang lain untuk melakukan perkara-perkara yang diharuskan dan diwajibkan Allah sahaja.


Hakikat Dan Pembahagian Nikmat;

Setiap kebaikan, kebajikan, kelazatan dan kebahagiaan bahkan sesuatu yang dicari dan disukai dinamakan“Nikmat”. Akan tetapi nikmat yang sebenar-benarnya nikmat adalah kebahagiaan di Hari Akhirat. Segala urusan yang kembali kepada manusia ada yang menghasilkan manfa'at dunia dan akhirat, misalnya ilmu pengetahuan yang mempunyai budi pekerti yang elok, ada yang hanya berguna di dunia sahaja bahkan jua di akhirat, ada yang menyusahkan di dunia dan menguntungkan di akhirat. Maka sesuatu yang berguna di dunia dan di akhirat itulah nikmat yang hakiki. Sebaliknya yang melaratkan di dunia dan di akhirat itulah bala bencana yang sebesar-besarnya. Sesuatu yang memberi guna di dunia dan di akhirat juga seolah-olah di pandang bencana juga oleh Ahli Makrifat. Sesuatu yang berguna di dunia tetapi memberi melarat di akhirat diibaratkan seperti madu yang mengandungi racun, sebagaimana kita pandang suatu nikmat (rezeki) yang sedap dan lazat. Tetapi jika kita tahu disebaliknya ada racun yang membinasakan tentulah kita memandang sebagai bencana yang bukan nikmat lagi. Sesuatu yang melarat di dunia dan menguntungkan di akhirat dipandang nikmat adalah seperti ibarat ubat yang pahit, ia mendatangkan kesembuhan bagi yang memakannya. Cuma hal yang tersebut ini diukur dengan keadaan manusia.
Nikmat itu ialah segala yang sedap dan lazat. Maka yang sedap dan lazat itu adakala dirasai kelazatannya oleh akal seperti ilmu. Adakala dirasai kelazatannya oleh perasaan badan manusia dan sebahagian binatang yang lain seperti kenyang dan bersetubuh. Kedua-dua kelazatan ini terdapat pada manusia dan pada seluruh macam binatang. Maka untuk menginsafkan diri, perhatikanlah firman Allah: “Bahawasanya Allah tiada mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga kaum itu mengubah keadaannya”. (Q.A.11 S.13 Ar ra'du). Tuhan mengubahkan nikmatNya lantaran kita mensia-siakan syukur. Tuhan menurunkan siksaNya lataran kita bergelumang dalam lautan dosa. Demikianlah hukum dan nikmat Tuhan yang menjadikan segala sebab.


Sebab-Sebab Yang Memalingkan Hamba Dari Bersyukur;

Jelaslah bahawa nikmat Allah yang diperolehi oleh makhlukNya tidaklah dapat dihitung banyaknya. Maka apakah gerangan yang memalingkan mereka dari bersyukur? Yang memalingkan mereka dari bersyukur ialahkebodohan dan kelalaian. Kebodohan dan kelalaian menghalangi mereka dari memahami nikmat. Sudah nyata, “Merasa gembira atas sesuatu pemberian seseorang iaitu atas keehsanan orang itu. Menyatakan kegembiraan itu dengan ucapan dan perbuatan”. Memelihara pemberian atau pertolongan itu dengan sebaik-baiknya dan mempergunakannya menurut cara yang dikehendaki oleh yang memberi nikmat atau pertolongan itu sendiri. Membalas pemberian atau pertolongan itu dengan mempergunakan nikmat-nikmat yang telah Allah berikan pada tempat-tempat yang dikehandaki dan menurut cara-cara yang diredhai. Dan membalas pemberian manusia ialah membalas pemberian dengan pemberian atau pertolongan dengan pertolongan dan sekurang-kurangnya dengan doa' yang baik saja. Syukur itu adalah perkara yang positif bagi sifat utama yakni “suka memberi dan suka menolong”. Dalam pada itu, hendaklah diingat seteguh-teguhnya, Janganlah kita melakukan kebaikan dan kebahagiaan kepada seseorang kerana mengharapkan pembalasan yang sebanding ataupun mengharapkan pembalasan yang lebih besar. Jika kita bersikap demikian tentulah telah hilang keikhlasan kita, ini tidak dapat dimungkiri.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah engkau memberi sesuatu pemberian dan engkau, mengharapkan (pembalasan) yang banyak”. (Q.A.6. S.74. Al-Muddatstsir).

UJIAN ITU DARIPADA ALLAH

Hari terus berganti hari. Kehidupan manusia juga terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Di celah-celah hari  berwarna-warni  yang di jalani dan ditelusuri, tanpa  disedari atau tidak, manusia sebenarnya  telahpun menempuh pelbagai ujian dan dugaan duniawi. Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…     ( Al-Baqarah: 286)

ALLAH telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. ALLAH  mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu  ALLAH memberikan  ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya ALLAH kepada kita sebagai hambaNya. ALLAH menguji seseorang bukan kerana ALLAH benci kepada kita tetapi percayalah  ALLAH menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya, adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujianNya.

Hakikatnya saat ini, saat kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani ujian atau dihimpit pelbagai derita. Ada di kalangan  manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.

“ Kenapa aku yang diuji ? “
“ Mengapa aku diuji sebegini ?”
“ Ujian ini sangat berat. Aku tak mampu…”

Mungkin ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir atau berlegar di fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan secebis ujian. Kadangkala  tanpa sedar dan niat  kita juga  terlanjur marah pada DIA kerana menghujani kita dengan pelbagai ujian.

Tetapi, apabila kita menenangkan diri dan bermuhasabah  kembali, tenyata sebenarnya dengan ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung . Mengapa saya katakan begitu? Kerana ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya. Dan jangan kita lupa bersama ujian itu juga ada pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). ( Al-Baqarah: 214)

Sebagai manusia biasa, kita pastinya tidak akan mampu menjangka bilakah ujian itu akan muncul tiba. Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah kudrat kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk menolak ujian-ujian yang bakal menyapa  itu. Jika direnungkan kembali, kita semua pastinya pernah dan akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu tiba, mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?

Manusia itu sifatnya pelupa, Ada masanya dalam melayari kehidupan di dunia, kita lalai dan leka pada hakikat yang nyata bahwa kita hanyalah hamba DIA yang Esa. Jadi apakah sebenarnya yang mampu membangkitkan manusia dari kelalaian dan kealpaan ini? UJIAN. Ya, Ujian. Ujian atau mehnah yang menjengah dalam kehidupan kita itulah sebenarnya yang mampu mengejutkan kita dari mimpi dunia yang panjang.

Allah Tuhan yang Maha Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas oleh DIA untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan kita terhadapNya sepertimana yang dijelaskannya di dalam Al-Quran:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)
Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin pernah bermain di fikiran kita saat kita diuji. Inilah saatnya bagi kita, saya dan anda yang sedang membaca, merubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian yang telah dan akan kita lalui sebagai sebuah ‘ hadiah’ dari Allah dan bukan lagi satu bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi.

Pembaca yang dikasihi oleh Allah,

Jika anda saat ini sedang diuji, ingin saya sampaikan sesungguhnya bersyukur dan berbahagialah anda kerana UJIAN itu daripada ALLAH..