Wednesday, 25 February 2015

HADITH 1 : NIAT

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ .
رواه إماما المحدثين أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بن إبراهيم بن المغيرة بن بردزبة البخاري وابو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيري النيسابوري في صحيحيهما
اللذين هما أصح الكتب المصنفة
Maksudnya:
“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Katthab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih”
Hadis ini adalah salah satu hadis utama dalam Islam.
Keterangan Hadith:
  1. Niat adalah penting untuk membezakan antara ibadat dengan adat. Niat itu penting untuk membezakan antara amalan yang ditujukan kepada Allah atau kepada yang lain selain Allah.
  2. Ibadat seperti solat dan puasa, wajib diniatkan kepada Allah agar diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala.
  3. Perkara atau amalan yang diharuskan oleh syarak jika ditujukan kepada Allah akan menghampirkan seseorang dengan Allah dan akan diberi pahala serta dikira sebagai ibadat. Contohnya, makan minum, memberi nafkah kepada anak dan isteri, bergaul dengan isteri – akan dikira ibadat sekiranya dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Pengajaran-pengajaran:
  1. Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti disertakan niat yang baik.
  2. Amalan yang buruk tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik.
  3. Amalan yang dianggap baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syarak, tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik.
  4. Demikian juga, amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seperti kerana riyak, menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah.
  5. Ulama ada berkata: Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat.
  6. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya.
  7. Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam Islam di mana umat Islam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya.
  8. Walaupun hijrah sudah tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan taat juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.
(Dari Kitab Hadith Arbain, Imam Nawawi)

No comments:

Post a Comment