Tuesday 6 January 2015

BAHAGIAN AIR

Terdapat 4 bahagian air :


 Air Mutlak

Menurut Syeikh Abu Abdullah Hussin Nasir Bin Muhammad Taib dalam kitabnya Hidayatul As-Subyan mengatakan bahawa :
“Tiada sah mengangkat hadas dan menghilangkan najis melainkan dengan air yang mutlak iaitu tiap-tiap air yang suci daripada qaid yang lazim seperti tebu, gula, sabun dan umpamanya, dan iaitu tiap-tiap air yang turun daripada langit seperti hujan dan embun atau air yang keluar daripada bumi seperti air laut, air sungai dan air telaga. Maka sekelian itu suci dirinya dan suci bagi yang lainnya atas barang apa sifat adanya.”

Secara ringkasnya maksud air mutlak ialah air yang suci pada dirinya dan dapat menyucikan yang lain. Air mutlak adalah air yang belum bercampur dengan najis, air takungan yang lebih dari dua kolah dan air yang tidak digunakan lagi dan tidak bercampur dengan zat-zat yang lain. Jenis-jenis air yang terdapat dalam bahagian air mutlak ialah air sungai, air perigi, air hujan, air embun, air laut, air salji, air mata air dan air paip.
  • Sukatan dua kolah : Panjang = 60 cm (22.5 inci). Lebar = 60 cm (22.5 inci). Dalam = 62.5 cm (25 inci).
  • Ukuran timbangan atau sukatan : Liter = 174 liter. Kilogram = 190 kilogram. Kati = 317 kati. Tin minyak tanah = 11 tin

Air Mustakmal


Menurut Ibnu Akhil di dalam kitabnya yang berjudul Zadul Al-Mutaalim mengatakan bahawa :

“Air mustakmal adalah air yang kurang daripada dua kolah yang telah digunakan bagi mengangkat hadas seperti air yang telah digunakan pada wuduk dan mandi atau air yang telah digunakan pada menghilangkan najis.”

Secara ringkasnya air mustakmal ialah air yang telah digunakan, seperti air bekas mandi, air bekas wuduk, air bekas basuhan dan seumpamanya. Air mustakmal tidak sah dan tidak suci digunakan untuk menyucikan yang lain.


Air Mutanajis


Air mutanajis ialah air yang bercampur dengan najis. Ada beberapa ketetapan mengenai air mutanajis iaitu :
  • Air yang mengandungi najis kurang dari dua kolah, sekalipun air itu tidak berubah warna, bau dan rasa. Maka hukum air itu adalah mutanajis dan tidak sah untuk bersuci.
  • Bila air melebihi dua kolah, tetapi air tersebut berubah warna, bau dan rasa disebabkan najis. Maka air itu dinamakan air mutanajis dan tidak sah digunakan untuk bersuci.
  • Air dicampuri barang yang tidak najis, tetapi mempunyai warna, bau dan rasa pada air tersebut, maka air itu tidak sah digunakan untuk bersuci.

Air Musyammas


Menurut Syeikh Abdul Faqir Al-Fatani Muhammad Bin Ismail Daud Al-Fatani di dalam kitabnya Matla Al-Badrain mengatakan bahawa :
“Air musyammas suci lagi menyucikan tetapi makruh isti’mal (menggunakannya) pada badan orang yang takut terkena penyakit sopak. Air Musyammas adalah yang berkekalan tetapnya dan ia dipanaskan oleh cahaya matahari pada negeri yang panas di dalam bekas (bejana).”

Secara ringkasnya air musyammas ialah air yang bertakung di dalam tin yang terdedah pada sinar matahari di negeri yang panas. Air ini suci lagi menyucikan tetapi makruh digunakan untuk bersuci. 


Air Muqayyad


Air muqayyad ialah air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya sama ada dari segi warna, bau atau rasa yang menyebabkan air tersebut tidak dipanggil air mutlak lagi. Contohnya air mawar, air kopi, air tebu, air sabun dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, qayyad pada air terbahagi dua :
  1. Qayyad Lazim iaitu qayyad yang tidak bercerai sehingga menjadikannya berbeza langsung dari air mutlak seperti air kopi, air madu, air mawar.
  2. Qayyad Musfaq iaitu qayyad yang bercerai iaitu yang tidak lazim bagi air seperti air hujan, air perigi. Maka air tersebut masih lagi dinamakan sebagai air mutlak.
Qayyad Lazim juga turut dinamakan sebagai air muqayyad yang membawa pengertian air bervariasi. Kesimpulannya air muqayyad ialah air yang suci bercampur dengan benda suci yang boleh mengubah air itu. Hukumnya suci tetapi tidak boleh menyucikan benda yang lain. Contohnya air kopi, air teh, air sirap , air kelapa, air mawar, air tebu dan sebagainya.


No comments:

Post a Comment